KEIZINAN UNTUK BERPERANG
Dalam keadaan yang meruncing itu, turun wahyu Allah kepada Nabi yang berbunyi: "Berperanglah dalam jalan Allah melawan orang-orang yang memerangi kamu, tetapi jangan melanggar batas, kerana Allah tidak suka kepada orang yang melanggar batas. Bunuhlah mereka itu dimana saja kamu jumpai dan usirlah mereka itu sebagaimana mereka telah mengusir kamu. Tetapi ingat pula, bahawa fitnah adalah lebih berbahaya dari pembunuhan. Tetapi janganlah kamu berperang didalam Masjidil Haram (Kaabah), kecuali kalau diperanginya kamu disana."
Selama ini Nabi dan orang-orang Islam hanya disuruh mundur dan hijrah. Sekarang diperintahkan Allah untuk berperang, kerana kini mereka sudah cukup menerima penganiayaan.
Jelas perintah itu, iaitu perang bukan untuk memaksa orang masuk Ugama Islam, tetapi adalah semata-mata mempertahankan diri kalau diserang. Kerana Ugama Islam tidak boleh dipaksakan kepada siapa jua, walaupun kepada keluarga dan famili Nabi sendiri.
Kerana perintah itu, maka Nabi mulai menyusun tentera mengatur pertahanan dan perlengkapan. Mula-mula ke dalam kota Makkah diutus Nabi beberapa orang perisik, untuk mengetahui rencana dan kekuatan musuh, serta untuk menarik kepala-kepala bangsa Badwi ke pihak Islam.
Pada bulan Rejab tahun kedua hijrah, Nabi mengutus dua belas orang Muhajirin, dikepalai Abdullah bin Jahasy keluar kota Madinah; suasana di kala itu sudah runcing sekali. Kepadanya diberikan sepucuk surat bersampul, Nabi mengizinkan membuka surat tersebut setelah dua hari dalam perjalanan.
Setelah dua hari dalam perjalanan, lalu surat itu dibuka. Ternyata dalamnya satu perintah dari Nabi agar mereka menuju ke Nakhlah, satu tempat di antara Makkah dan Taif, guna mencari keterangan sebaik-baiknya tentang gerak-geri orang Makkah (musuh). Hal ini dilakukan bukan untuk menyerang Makkah, tetapi untuk berjaga-jaga semata-mata.
Disana, Abdullah bertemu dengan kafilah kecil orang Makkah yang dalam perjalanan pulang dari Taif. Orang-orang ini diserangnya, seorang mati iaitu 'Amru bin Hadhramy dan dua orang lainnya ditawan, yaitu Usman bin Abdullah dan Hakam bin Kaisan, sedang harta bendanya dirampas. Dalam hal itu Abdullah telah melanggar perintah Nabi, kerana disaat itu dalam Bulan Muharam, dimana dilarang menumpahkan darah. Nabi sangat marah kepadanya.
Hal ini membangkitkan semangat bangsa Quraisy (Makkah), untuk menyerang kaum Muslimin.
Nabi mendapat lapuran, bahawa kafilah bangsa Quraisy yang amat besar terdiri dari seribu ekor unta dengan segala muatannya, sedang dalam perjalanan dari Syria menuju Makkah. Untuk mengurangi kekuatan musuh yang telah siap untuk menyerang itu, Nabi memerintahkan untuk menahan kafilah itu dan merampas harta dan barang dagangan untuk dijadikan kekuatan perang. Maksud Nabi ini diketahui oleh Abu Sufyan yang mengepalai kafilah itu. Abu Sufyan segera mengirim utusan ke Makkah minta bantuan tentera sebanyak mungkin, sedang perjalanan kafilahnya dibelokkan melalui satu tempat yang bernama Badar, menyusur pantai Lautan Merah. Makkah segera mengirimkan bantuan yang terdiri dari seribu orang tentera, seratus orang diantaranya pasukan berkuda dan tujuh ratus orang lainnya pasukan unta, yang kesemuanya dikepalai oleh Abu Jahal sendiri. Ketika pasukan bantuan ini bertemu dijalan dengan Abu Sufyan, Abu Sufyan menyuruh pasukan ini kembali saja ke Makkah. Tetapi Abu Jahal ingin memperlihatkan kekuatan tenteranya kepada orang Madinah itu.
Pasukan Rasulullah s.a.w. hanya terdiri dari tiga ratus tiga belas orang saja. Diantaranya hanya dua orang berkenderaan kuda. Tentera yang kecil ini berangkatlah bersama Rasulullah menuju satu tempat yang dinamai Badar.
Setelah Rasulullah mengetahui akan kedatangan bantuan Quraisy yang amat besar jumlahnya itu, Rasulullah bermesyuarat dengan para sahabat beliau. Abu Bakar dan Umar menasihatkan agar pertempuran diteruskan. Begitu juga Miqdad bin 'Amru dari Muhajirin. la berkata kepada Rasulullah: "Teruskanlah apa yang diperintahkan Allah kepada engkau. Kami tidak akan berkata seperti apa yang dikatakan Bani Israil dahulu kepada Nabi mereka Musa a.s. Mereka berkata kepada Musa: Pergilah engkau beserta Tuhan engkau berperang, sedang kami biarlah duduk saja di sini (menonton).
Sebaliknya kami, kata Miqdad seterusnya akan berkata kepada engkau: Pergilah engkau beserta Tuhan engkau berperang, dan kami akan bersama engkau bertempur. Demi Allah yang telah mengutus engkau membawa kebenaran, jika sekiranya engkau memerintahkan kami berangkat ke Birkil Ghamad (nama suatu tempat yang amat jauh di Yaman), kami akan memaksa diri kami agar kami sampai ke sana."
Berkata pula Sa'ad bin Mu'az dari golongan Ansar: "Kami sudah beriman kepada engkau, kami sudah membenarkan akan engkau dan mengakui bahawa apa yang engkau bawa kepada kami adalah hak, kami sudah berjanji akan tunduk dan taat. Maka teruskanlah, ya Rasulullah, dengan apa yang engkau kehendaki, kami akan selalu bersama engkau. Demi Tuhan yang telah mengutus engkau dengan hak, sekiranya engkau harus menyelam lautan itu, kami akan menyelaminya bersama engkau. Tak seorang pun diantara kami yang akan mundur. Kami tidak takut apa pun yang akan dilakukan musuh terhadap diri kami, kami adalah orang-orang yang tabah dalam perang. Mudah-mudahan Allah memperlihatkan kepada engkau apa-apa yang menyenangkan hati engkau, sehingga kami akan senang pula dengan berkat dari Allah."
Rasulullah sangat gembira mendengar ucapan-ucapan yang diucapkan para sahabat itu. Rasulullah lalu berkata memberikan perintah kepada mereka: "Berangkatlah dan bergembiralah, Allah sudah menjanjikan kepadaku akan pertolonganNya, seolah-olah aku melihat tempat-tempat yang menjadi sumber minum mereka."
Kaum Quraisy dan bala bantuannya yang banyak itu dikerah oleh Abu Sufyan, mengambil kedudukan dilereng jauh ditempat rendah. Sedang Rasulullah memerintahkan pasukan beliau mengambil tempat dilereng yang dekat ditempat tinggi dari Wadi Badar.
Seorang sahabat bernama Habbab bin Munzir mendatangi Rasulullah dan berkata: "Apakah kedudukan yang engkau pilih ini menurut perintah (wahyu) dari Allah? Kalau memang begitu, kita tidak akan beranjak dari kedudukan ini. Tetapi kalau hanya pendapat Rasulullah sendiri berdasarkan siasat atau strateji semata, maka saya berpendapat lain. Lebih baik kita mengambil kedudukan ditempat yang lebih rendah, dekat sumber air yang akan diperguna-kan oleh musuh-musuh itu. Kita buat tangki-tangki dan kita gali perigi, lalu kita penuhi dengan air dari sumber itu, kemudian sumber itu kita timbun dengan tanah. Biar musuh tidak dapat air minuman, agar mereka menderita dahaga, sedang kita terus bertempur dengan persediaan air yang banyak itu."
Pendapat Habbab ini dibenarkan oleh Rasulullah, kerana Rasulullah mengambil tempat kedudukan yang pertama tadi itu tidak berdasarkan perintah dari Allah, semata-mata pendapat peribadi beliau sendiri.
Seluruh pasukan dikerahkan untuk membuat tangki-tangki dan menggali perigi, mengisinya dengan air sebanyak mungkin, lalu menutup sumber air yang akan dipergunakan oleh musuh itu. Para sahabat pun membuat sebuah gubuk untuk Rasulullah, tempat beliau memberikan arahannya. Berkata Sa'ad al-Anbany: "Ya Rasulullah, bila Allah memenangkan kita, engkau tetap sajalah digubuk itu, tetapi bila kami tewas seluruhnya, engkau hendaklah segera meninggalkan gubuk itu bergabung dengan sahabat-sahabat kita yang masih hidup, yang kecintaan mereka terhadap engkau tidaklah kurang dari kecintaan kami." Rasulullah amat terharu mendengar ucapan yang demikian itu. Keesokan harinya musuh yang terdiri lebih dari seribu orang itu mulai menyerang. Melihat kedatangan musuh yang dengan amat tiba-tiba itu, Rasulullah berdoa: "Allahumma, ya Allah, kaum Quraisy sudah menyerang dengan sombong dan membanggakan kekuatan mereka, mereka menentang Engkau dan mendustakan akan Rasul Engkau. Ya Allah, hanya pertolongan yang pernah Engkau janjikan kepadaku yang akan dapat mengalahkan dan menghancurkan mereka. Ya Allah, hancurkanlah mereka."
Tentera Makkah bukan main marahnya. Dengan segera mereka menyerang dengan pasukan berkuda terhadap tentera Islam. Dua orang pasukan berkuda musuh (Quraisy) gugur ke tanah dipanah tentera Islam. Dari tentera musuh maju ke depan tiga orang pahlawan, iaitu 'Utbah dan Syaibah (bersaudara) dengan anak 'Utbah yang bernama al-Walid. Untuk menghadapi ini, Nabi memerintahkan tiga orang pahlawan Islam pula, iaitu Ali, Hamzah dan Ubaidah. Ali dan Hamzah dapat menewaskan musuh sedangkan Ubaidah dan lawannya masing-masing mendapat luka yang parah dan kerana luka-luka ini Ubaidah meninggal dunia di atas pangkuan Nabi sendiri.
Kaum Muslimin yang sedikit itu menghadapi lawan yang lebih dari tiga kali ganda banyaknya. Nabi mendoa kepada Tuhan: "Oh, Tuhan! Penuhilah janjiMu untuk memberi kemenangan. Kalau ummat yang kecil ini binasa (kalah), maka akan menanglah agama berhala dan tidak akan ada lagi orang yang menyembahMu di muka bumi."
Abu Bakarlah ketika itu orang yang paling sedih dan khuatir melihat ramai dan kuatnya musuh yang sedang dihadapi oleh tentera Islam. Dengan memegang kain tutup kepala Nabi, Abu Bakar berkata kepada Nabi: "Ya Nabi Allah, Tuhan tentu akan mengabulkan doamu dan Tuhan tentu menolong kita menghadapi musuh yang ramai ini."
Tiba-tiba Nabi seakan-akan tertegun dalam mendoa. Di kala itu turunlah wahyu Allah yang berbunyi: "Hai, Nabi! Kerahkanlah orang-orang Mu'min itu bertempur! Dua puluh orang Mu'min yang sabar, akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan seratus orang (Mu'min yang sabar) akan dapat mengalahkan seribu orang-orang kafir, kerana orang-orang kafir itu tidak mempunyai dasar yang teguh."
Dengan segera Nabi menghadapkan mukanya kepada tentera Islam yang sudah siap sedia, lalu
berkata: "Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad, orang-orang yang berperang dengan sabar dan penuh harapan ganjaran Allah, terus maju dan takkan mundur setapak, bila dia terbunuh, terus masuk ke dalam Syurga Allah."
Kemudian diambil Nabi segenggam pasir, lalu dilemparkannya ke arah musuh. Arahan dan perintah menyerbu sudah diberikan. Kaum Muslimin maju bertempur dengan keimanan dan keyakinan yang penuh dan kuat, dengan serentak berteriak: Ahad, Ahad, Ahad.
Dikala itu angin berhembus dengan kencangnya ke arah tempat musuh. Pasir padang pasir berterbangan sebagai asap tabir yang amat tebal. Mata pedang mulai bergerincingan berbunyi ditengah-tengah suara takbir dan derunya angin ribut.
Kerana angin berhembus ke arah tentera musuh, maka hal itu sangatlah menguntungkan pihak ummat Islam yang dipimpin Nabi. Bukan hanya perajurit, tetapi banyak panglima-panglima tentera musuh, seorang demi seorang tewas di hujung mata pedang; diantaranya 'Utbah, Syaibah, al-Walid, Umaiyah bin Khalaf, Abul Bukhtary, Hamzah anak Abu Sufyan.
Dalam pertempuran itu pula, Mu'az bin 'Amru dari golongan ummat Islam telah dapat melukai Abu Jahal, tetapi anak Abu Jahal segera datang membantu ayahnya, sehingga tangan Mu'az kena mata pedang hampir putus, tergantung di bahunya. Dengan segera Mu'az memutuskan tangannya yang tergantung-gantung itu, lalu tampil menyerang Abu Jahal. Abu Jahal terbanting jatuh, segera ditikam oleh seorang pemuda Ansar, iaitu Bin Affa sehingga Abu Jahal tewas seketika itu juga berlumuran darah bersama kudanya. Kepala Abu Jahal yang telah bercerai dengan badannya, dibawa Ibnu Mas'ud ke hadapan Nabi.
Melihat panglima tertingginya sudah tewas, maka barisan musuh mulai kucar kacir, lari tunggang-langgang dikejar orang Islam dari belakang. Mereka meninggalkan tujuh puluh mayat dimedan perang, yang umumnya terdiri dari pemuka-pemuka mereka dan tujuh puluh orang lagi menjadi tawanan perang. Sedang dipihak ummat Islam hanya empat belas orang yang mati syahid dan tidak seorang juga yang menyerah kepada musuh.
Di antara tokoh-tokoh yang berkaliber besar dari kaum Musyrikin Quraisy yang tewas itu antara lain Abu Jahal bin Hisyam (panglimanya), 'Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, Umaiyah bin Salt. Semua mayat musuh itu dimasukkan ke dalam sebuah lubang, lalu ditimbuni dengan tanah. Rasulullah lalu berdiri di tempat itu dan berkata: "Hai Ahli Lubang, hai Abu Jahal bin Hisyam, hai 'Utbah bin Rabi'ah, hai Syaibah bin Rabi'ah, hai Umaiyah bin Salt, apakah kamu sudah memperoleh apa-apa yang dijanjikan Tuhan kamu kepada kamu sekalian? Kami sudah memperolehi apa yang pernah dijanjikan Allah kepada kami."
Mendengar itu para sahabat bertanya kepada Rasulullah:
"Ya Rasulu'llah, apakah engkau menyeru orang-orang yang sudah menjadi bangkai?" Rasulullah menjawab: "Mereka lebih mendengar daripada kamu akan apa-apa yang saya ucapkan itu, hanya mereka tidak dapat menjawabnya."
Perang inilah yang dinamai perang Badar Kubra, terjadi pada tujuh belas Ramadhan tahun kedua Hijrah. Kemudian ternyata, bahawa Allah telah mengirimkan pertolonganNya kepada ummat Islam dalam perang itu. Bukan saja pertolongan yang berupakan angin dan debu, tetapi pula beberapa Malaikat, sebagai ternyata dalam wahyu Allah yang datang kemudian.
Terhadap para tawanan itu berbagai-bagai usul yang masuk. Umar Ibnul-Khattab mengusulkan agar mereka dibunuh semuanya, seimbang dengan kekejaman mereka terhadap orang-orang Islam. Tetapi
Abu Bakar mengusulkan agar tawanan-tawanan yang kaya, diwajibkan menebus dirinya masing-masing dengan wang yang banyak, lalu dilepaskan dan yang miskin dan tak berbahaya, dilepaskan saja tanpa tebusan. Dengan wahyu Allah, Nabi menjalankan usul Abu Bakar, menolak usul Umar. Para tawanan yang mempunyai kepandaian menulis, dapat menebus dirinya dengan kepandaiannya itu.
Dengan jalan begitu, perlakuan terhadap tawanan memang diatur Nabi sebaik mungkin. Hal inilah yang menyebabkan kemenangan yang berterusan untuk kaum Muslimin disamping dengan pertolongan dari Allah. Salah seorang yang membayar tebusan yang agak besar sekali ialah Abbas iaitu bapa saudara Nabi sendiri.
Dimakkah kaum Quraisy menunggu perkhabaran tetapi setelah tiba ternyata kekalahan dipihak mereka dimana banyak yang mati dan tertawan. Dari tentera yang pulang itu mereka ketahui jalan peperangan, budak suruhan Abbas yang bernama Abu Rafi dengan keras berkata: Demi Allah. Tentu saja Malaikatlah yang menolong tentera Islam!
Mendengar perkataan itu bukan main marah lagi Abu Lahab, walaupun masih lagi dalam kesakitan dipukulnya Abu Rafi setengah mati. Kejadian itu dilihat oleh isteri Abbas, dia amat marah diambilnya lembing lalu ditikamnya Abu Lahab, parah dibuatnya. Dengan keaadan yang luka parah dan malu Abu Lahab pulang kerumah, sakitnya semakin tenat setelah tujuh hari dia pun mati. Makkah berada dalam kesedihan atas kekalahan yang dialami tentera mereka. |
|
No comments:
Post a Comment